Monday, March 14, 2011

Jepun ... Malaysia datang menbantu (",)

Pasukan SMART sedia membantu mangsa Tsunami Di JEPUN

PEKAN: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) termasuk lapan anjing pengesan dihantar bagi membantu operasi mengesan dan mencari mangsa yang terperangkap dalam kejadian gempa bumi yang melanda negara Matahari Terbit itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata seramai 15 anggota SMART serta beberapa doktor dan pembantu perubatan menyertai pasukan itu bersiap sedia untuk berlepas dengan menaiki dua pesawat Charlie C130.
Bagaimanapun, sehingga lewat malam tadi, Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih menunggu kebenaran untuk mendarat di negara berkenaan yang mempunyai kaitan dengan kejadian letupan loji nuklear semalam.

“Ini sebagai tanda simpati dan sokongan kita kepada kerajaan dan rakyat Jepun bagi membantu usaha menyelamat mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Pekan, dekat sini, semalam.

Mengenai keadaan rakyat Malaysia di negara itu, Perdana Menteri berkata, laporan Wisma Putra yang diterimanya menunjukkan semua rakyat termasuk pelajar Malaysia terselamat daripada bencana berkenaan.

Ditanya jika kerajaan akan membawa pulang rakyat negara ini berikutan kebimbangan kebocoran reaktor nuklear, Najib berkata, ia bergantung kepada maklumat dan nasihat Kerajaan Jepun.
Sementara itu, Najib juga berkata, kerajaan akan memantau kesan bencana itu terutama dari segi kenaikan harga barangan, khususnya barangan import.

Katanya, ia dilakukan menerusi skim subsidi yang membolehkan harga barangan yang dijual paling rendah di rantau ini, menambah bekalan barangan, memantau peniaga dan menggalakkan persaingan yang kompetitif di kalangan industri yang dilihat mampu mengurangkan harga barangan.

“Kita tidak mahu inflasi terlalu tinggi, kalau dalam keadaan dua peratus atau dua setengah peratus itu boleh bertahan lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab, berkata kebenaran Kerajaan Jepun itu penting kerana mereka tidak mahu dianggap tidak bertanggungjawab jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini ke atas anggota SMART.

Beliau berkata, pasukan 47 anggota membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bomba dan Penyelamat (Bomba) dan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan selain lapan anjing K9 itu bersiap sedia untuk berlepas pada bila-bila masa.

Katanya lagi, pasukan ATM dan Bomba akan menjalankan kerja mencari dan menyelamat sebelum 15 anggota SMART mengeluarkan mangsa yang dikesan, manakala tujuh pegawai perubatan akan merawat mangsa .

sumber dari berita harian

No comments:

Post a Comment