Sunday, October 21, 2012

JaDiLAh KeTUa yANg BaiK



AMANAH & JUJUR
Sebagai seorang pemimpin yang baik, sikap amanah serta jujur perlu diterapkan agar pemimpin sentiasa dihormati oleh orang yang dipimpin. Sikap amanah dapat mengelak seorang pemimpin daripada melakukan penyelewengan dalam pentadbiran. Semua tugas pentadbiran dilaksanankan dengan baik tanpa berlaku apa-apa masalah.

IKHLAS
Ikhlas membawa maksud tidak mengharapkan apa-apa ganjaran sampingan demi kepentingan sendiri. Sebagai pemimpin yang baik tujuan pentadbiran atau kepimpinan hanyalah untuk kebaikan semua yang terdapat atau tergolong dalam struktur pentadbiran atau organisasi yang dipimpin.
 
BERTANGGUNGJAWAB
Nilai ini dapat menjamin seorang pemimpin itu menjalankan tanggungjawab kepimpinannya dengan telus. Sebagai seorang pemimpin yang bertanggunjawab juga, seorang pemimpin akan bertanggungjawab ke atas setiap tindak tanduk serta arahan yang dikeluarkan terhadap yang dipimpin. Baik buruk setiap akhiran daripada kepimpinan beliau harus diterima dengan terbuka.
 
BERSIH
Bersih di sini membawa maksud nilai murni seperti tidak tamak, tiada hasad dengki, khianat, dendam dan segala sifat negatif dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Selain dari kebersihan rohani yang disebut tadi, bersih dari aspek fizikal juga merupakan nilai yang perlu ada pada setiap pemimpin. Bersih juga membawa kepada pakaian, persekitaran mahu pun kepada pemilikan harta secara sah oleh seorang pemimpin itu.
 
BERKERJASAMA
Seperti yang kita sedia maklum, kerja yang bermutu adalah hasil daripada kerjasama yang baik. Sebagai seorang pemimpin, nilai kerjasama yang baik perlu ada dalam sanubari. Arahan tidak cuma dikeluarkan tetapi seorang pemimpin perlu bekerjasama dengan orang bawahan tanpa mengira peringkat. Dengan ini pemimpin akan disegani dan mudah untuk melaksanakan tugas sebagai pemimpin.
 


DEDIKASI & TEKUN
Dedikasi dengan tugas kepimpinan tanpa mengira penat atau lelah. Sifat atau nilai ini akan menjamin seorang pemimpin akan terus istiqamah dan tanpa jemu memimpin sesuatu organisasi atau institusi ke arah kecemerlangan. Pepatah “Genggam bara api, biar sampai jadi abu”. Jika nilai ini tersemat pada setiap pemimpin, maka institusi tidak akan mengalami kegagalan.
 
SEDERHANA
Kesederhanaan adalah satu nilai yang tak kurang penting dalam kepimpinan. Kesederhanaan membawa maksud antara lainnya menolak keterlaluan ataupun kekurangan dalam pucuk kepimpinan. Pemimpin yang ekstrem akan hanya membawa kepada kepincangan organisasi. Pengikut samada akan taksub atau pun menolak terus dasar kepimpinan yang diterajui sekiranya pemimpin mengamalkan nilai ekstrem. Kesederhanaan adalah nilai yang boleh diterapkan bukan shaja dalam bentuk melaksanakan tugas seharian tetapi dalam percakapan, arahan, pergaulan mahu pun pakaian.
 
BERDISPLIN
Nilai disiplin adalah suatu nilai yang amat sinonim dengan kepimpinan. Tunggak kejayaan sesebuah organisasi adalah terus menerus berlandaskan kepada disiplin,baik di peringkat rendah malah juga di peringkat tertinggi. Patuh dan mengamalkan secara berterusan segala arahan, peraturan dan ketetapan yang dikenakan oleh sesuatu organisasi. Perkara ini yang dinamakan disiplin dan pemimpin yang berdisiplin tidak akan lari dari perkara ini.
 
ADIL
Adil membawa maksud memberikan hak kepada yang berhak serta meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Pemimpin perlu ada nilai keadilan ini. Pemimpin seharusnya tidak pilih kasih atau pilih bulu dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua. Setiap yang dipimpin harus di beri hak sama rata tanpa mengira tahap atau perin kat. Nilai ini amat perlu dalam melaksanakan kepimpinan.
 
BERSYUKUR
Pemimpin yang rendah diri dan baik harus mempunyai nilai bersyukur iaitu menerima kesediaan dan rasa rendah diri untuk sebarang nikmat Allah dan sentiasa berterima kasih kepada-Nya. Bersyukur dan berterima kasih kepada yang dipimpin dan kepada orang lain yang memberi bantuan serta sumbangan dalam organisasi. Nilai bersyukur juga dapat menjadikan seorang pemimpin itu dapat melenyapkan rasa tidak puashati,keluh kesah dan marah apabila menghadapi masalah. Pemimpin yang bersyukur adalah pemimpin yang baik.

No comments:

Post a Comment